++JANGAN BIARKAN SEHARI DALAM HIDUPMU TANPA MEMIKIRKAN TENTANG ISLAM

Tuesday, April 12, 2011

ZAKAT

Rukun Zakat

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)


“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” - Surah Al-Baqarah (ayat 83)

Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.

Dari Segi Bahasa

Zakat dari segi bahasa bererti “BERSIH”, “SUCI”, “SUBUR”, “BERKAT” dan “BERKEMBANG”

Pengertian “BERSIH” dan “SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

Dari Segi Syarak

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak

Hikmah Disyariatkan Zakat

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

  • Islam

    Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.

  • Merdeka

    Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

  • Sempurna Milik

    Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

  • Harta Usaha Yang Baik Sebagai Sumber Zakat

    Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

  • Cukup Nisab

    Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

  • Cukup Haul

    Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

    Harta Yang Wajib Dizakatkan

    Ada 2 jenis zakat iaitu:

    • Zakat Fitrah

      Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan
      syarat-syarat yang ditetapkan.

    • Zakat Harta

      Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

      • Zakat Pendapatan
      • Zakat Perniagaan
      • Zakat Binatang Ternakan
      • Zakat Pertanian
      • Zakat Wang Simpanan
      • Zakat Emas dan Perak
      • Zakat Saham
      • Zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz *

    ***
    Ma’adin
    Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.

    Kunuz
    Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).

    Rikaz
    Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)


    Asnaf Zakat

    Skop agihan zakat Lembaga Zakat Selangor (MAIS) berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam surah At-Taubah ayat 60:

    “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

    Siapa Yang Layak Menerima Zakat

    Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

    • Asnaf Fakir

      Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

    • Asnaf Miskin

      Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

    • Asnaf Amil

      Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

    • Asnaf Muallaf

      Orang yang baru memeluk Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya” dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

    • Asnaf Riqab

      Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

    • Asnaf Gharimin

      Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:

      • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
      • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
      • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.
    • Asnaf Fisabilillah

      Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

    • Asnaf Ibnu Sabil

      Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:

      • Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.
      • Pengembaraan diharuskan oleh syarak.


Monday, April 11, 2011



renungan

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…



Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…



Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi…



Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya…



Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…



Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal……CHEWAHHHH OVER JIWANG NI